3 maut dalam tembakan di Texas
2026-03-03 - 04:43
Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dekat sebuah premis hiburan sebelum ditembak mati polis. (Gambar Pixabay) WASHINGTON: Tiga maut, manakala 14 lagi cedera ditembak di pusat bandar Austin, Texas pada awal pagi Ahad, menurut pihak berkuasa selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran sebuah premis hiburan sebelum ditembak mati polis. Menurut Anadolu Ajansi, suspek didakwa memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengelilingi blok kawasan itu beberapa kali sebelum melepaskan tembakan menggunakan pistol dari dalam kenderaannya ke arah pelanggan di luar sebuah bar. Dia kemudian keluar dari SUV dan terus melepaskan tembakan menggunakan senapang di sepanjang Sixth Street, sebelum ditembak mati anggota polis. Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Austin-Travis County memaklumkan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 14 lagi dikejarkan ke hospital dengan tiga daripadanya dalam keadaan kritikal. Pasukan paramedik tiba dalam tempoh 57 saat selepas panggilan kecemasan pertama diterima. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut menyertai siasatan dan memaklumkam terlalu awal untuk menentukan motif tembakan, tetapi pihak berkuasa sedang meneliti “kemungkinan kaitan dengan keganasan”. CBS News melaporkan suspek dikenal pasti sebagai Ndiaga Diagne berusia 53 tahun. Menurutnya, ia memperoleh gambar suspek yang dirakam selepas ditembak mati polis dan menunjukkan baju suspek mempunyai corak menyerupai bendera Iran.