TheMalaysiaTime

3 lelaki tular merusuh di Kuala Langat ditahan

2026-03-24 - 14:51

Tangkap layar rakaman tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu dipercayai merusuh. PETALING JAYA: Tiga lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes merusuh di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, petang semalam. Pemangku Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Sufian Amin, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya semasa menunggang motosikal. Katanya, berdasarkan laporan yang diterima semalam, pengadu mendakwa terdengar bunyi bising di hadapan rumah sebelum keluar untuk melihat keadaan. “Dia kemudian mendapati bapa saudaranya yang berusia 46 tahun sedang memegang sebilah parang serta dikepung beberapa individu tidak dikenali yang dipercayai cuba menyerangnya. “Pengadu kemudian bertindak menghubungi pihak polis, namun kesemua suspek yang merupakan penganggur melarikan diri sebelum anggota tiba di tempat kejadian. “Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan, tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat telah berjaya ditahan dan beberapa barangan kes turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222. “Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. “Usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya. Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan kejadian sekumpulan lelaki dipercayai merusuh di Jalan Waja yang dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Share this post: