3 lelaki didakwa bergaduh di Balai Polis Meru
2026-03-06 - 08:23
Tangkap layar video tular pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di Balai Polis Meru, 2 Mac lalu. PETALING JAYA: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Klang kerana bergaduh, mendatangkan kecederaan dan merosakan harta kerajaan dalam satu kejadian di Balai Polis Meru pada 2 Mac lalu. Tertuduh, P Gopinath, 39, B Kalairasan, 38, dan A Magendran, 44, mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Azilah Mat. Mengikut pertuhan pertama, mereka didakwa menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki menggunakan topi keledar dan batang besi di Balai Polis Meru, kira-kira 9.47 malam, 2 Mac lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. Mereka juga didakwa berkelakuan tidak senonoh iaitu membuat bising serta bergaduh di lokasi sama dan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 94, Akta Polis 1967 Penalti Am yang boleh didenda RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Gopinath pula didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ugutan, terhadap seorang lelaki dan kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kalairasan pula didakwa merosakkan televisyen yang berada di balai polis itu dan kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih lima atau denda atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sulfie Abu Hassan dan Salman Al Farisi Nawawi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam A Biranta. Mahkamah kemudiannya membenarkan Gopinath dan Kalairasan masing-masing diikat jamin RM13,000 manakala Magendran diikat jamin sebanyak RM9,000 dan menetapkan 25 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes. Sebelum ini tular rakaman video yang memaparkan beberapa lelaki menyerbu sebelum bergaduh di dalam sebuah balai polis.