TheMalaysiaTime

3 jurulatih Palapes didakwa sebabkan kematian pelatih UTM

2026-02-27 - 04:03

Tiga jurulatih Palapes didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di Johor atas tuduhan menyebabkan kematian pelatih UTM, Syamsul Haris Shamsudin pada 28 Julai 2025. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di Johor atas tuduhan menyebabkan kematian pelatih Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu. Tertuduh, Mohd Azmi Abu Bakar, 40, yang berpangkat mejar, Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, (kapten) dan Mohd Norbuangani Mislan, 41, (pegawai waran) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, lapor Harian Metro. Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris, 22, dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian mangsa. Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan denda. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara di sini, antara 2 petang hingga 3 petang, 28 Julai 2025. Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan adalah tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin. Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tetapi Azmi bangun dan merayu kepada mahkamah untuk jaminan dikurangkan dengan alasan mereka sudah 20 tahun berkhidmat dalam tentera. “Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” katanya. Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah turut menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam, serahan dokumen dan kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa. Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai 2025 dalam keadaan tidak jelas ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor. Beliau dilaporkan mengalami sawan sebelum meninggal dunia, tetapi ibunya mendakwa tubuh Syamsul Haris mempunyai kesan lebam dan kecederaan lebih konsisten dengan serangan fizikal, bukannya akibat sawan. Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan jenazah Syamsul Haris digali semula untuk bedah siasat kedua susulan permohonan ibunya. Bedah siasat kedua mengesahkan punca kematian Syamsul akibat kecederaan traumatik di bahagian leher, berdasarkan dapatan pakar forensik, Dr Siew Sheue Feng. Susulan itu, AGC pada 2 Dis lalu mengarahkan kes kematian Syamsul diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut polis.

Share this post: