TheMalaysiaTime

3 beranak maut selepas pulang dari kenduri

2026-03-24 - 00:11

Keadaan Perodua Aruz yang dinaiki lima sekeluarga selepas terbabas di KM59 Jalan Jerangau-Jabor dekat Felda Jerangau semalam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Tiga beranak maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas di KM59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau dekat Dungun, semalam. Dalam kemalangan 6.10 petang itu, Nurul Hafizah Shaary, 39, dan anaknya Mohd Redzuan Arash Mohd Redzuan, 13, meninggal dunia di lokasi. Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata Nur Radya Athalia, 4, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Jerangau akibat parah di badan dan tangan kanan. “Dua lagi anak Nurul Hafizah iaitu Nur Raesha Amanda Mohamad Redzuan, 14, cedera di kepala, manakala seorang lagi anaknya Nur Rakhis Aral Mohamad Redzuan, 9, cedera di tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Dungun. “Ketiga-tiga mangsa maut pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, nahas itu dipercayai berlaku apabila Perodua Aruz dipandu Nurul Hafizah dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu merempuh sebatang paip air besar. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ketika kejadian, lima beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Ajil selepas menghadiri majlis perkahwinan adik lelaki Nurul Hafizah di Kampung Sura Tengah, Dungun.

Share this post: