TheMalaysiaTime

3 Adun Perlis kekal wakil rakyat bebas walau diterima PAS semula

2026-02-01 - 06:46

Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali yakin PAS Pusat akan menerima permohonan keahlian Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim. (Gambar Facebook) BANGI: Status tiga bekas Adun PAS Perlis tetap wakil rakyat bebas, walaupun permohonan keahlian mereka diluluskan pucuk pimpinan parti, kata Pesuruhjaya negeri, Ahmad Ali. “Walaupun permohonan keahlian mereka (tiga Adun Perlis itu) diterima selepas ini, status mereka sebagai Adun PAS kekal gugur. “Ia selaras perlembagaan parti terkait Akta Lompat Parti. Jika melakukan apa-apa kesalahan, maka tergugur dengan sendiri keahlian,” katanya selepas menghadiri pemukiman tertutup PAS di sini. PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima Adun Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli. Sementara itu, Ahmad yakin PAS Pusat akan menerima permohonan keahlian tiga Adun itu. “Saya sebelum ini ada jumpa tiga Adun berkenaan dan telah beri nasihat dan teguran (supaya tidak mengulangi kesilapan sama).” Terdahulu, Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan menerima permohonan tiga Adun Perlis untuk menyertai parti itu semula yang akan diserahkan kepada setiausaha agung parti untuk pertimbangan PAS Pusat. Dalam perkembangan sama, Ahmad mengakui kemelut politik di Perlis belum selesai sepenuhnya, tetapi proses penstrukturan semula kepimpinan negeri sudah dilaksanakan. “Saya harap perkara ini akan diselesaikan dengan elok dan kita fokus kepada persiapan PRU16 serta memperkukuh parti.” Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pertembungan antara Majlis Syura Ulama dipimpin Mursyidul Am, Hashim Jasin dan PAS Pusat bawah pimpinan Hadi Awang susulan kemelut di Perlis. “Perkara itu tidak betul dan tidak berbangkit, tiada sebarang pertembungan.”

Share this post: