TheMalaysiaTime

27 barangan bawah SHMMP Aidilfitri

2026-03-10 - 05:34

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali melancarkan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri yang akan bermula Sabtu ini hingga 28 Mac. (Gambar Bernama) AMPANG: Kerajaan akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri selama 15 hari bermula Sabtu ini hingga 28 Mac. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata sebanyak 27 jenis barangan dimasukkan dalam senarai skim itu berbanding 26 pada pelaksanaan SHMMP tahun lalu. Beliau berkata, tempoh pelaksanaan skim itu selama tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan. “Tahun ini terdapat satu barangan tambahan berbanding tahun lalu iaitu kacang dal (Australia),” katanya ketika mengumumkan SHMMP sempena Aidilfitri 2026. Armizan berkata, bagi Semenanjung harga maksimum bagi 13 jenis barangan menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu. Antara barangan mencatat penurunan ialah daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa. Katanya, harga maksimum bagi sembilan barangan lain pula kekal berbanding SHMMP 2025. Barangan tersebut ialah daging lembu tempatan, ikan aya atau tongkol, ikan kembung atau mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang dan kacang tanah. “Bagaimanapun, satu barangan mencatatkan kenaikan harga maksimum berbanding tahun lalu iaitu cili merah,” katanya. Dalam pada itu, Armizan memberi jaminan bekalan makanan negara mencukupi menjelang Aidilfitri walaupun berlaku konflik di Timur Tengah. Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik kerana kerajaan membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan mencukupi. “Saya beri jaminan jangan khuatir dan jangan membuat pembelian panik untuk perayaan ini kerana bekalan mencukupi. “Persediaan awal telah dibuat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya. Pada masa sama, Armizan berkata KPDN turut memberi perhatian kepada kemungkinan berlaku penyeludupan barangan susulan konflik yang berlaku dan akan meningkatkan penguatkuasaan menjelang Aidilfitri.

Share this post: