21 ditahan, PGA rampas RM20.88 juta makanan sejuk beku
2026-03-06 - 04:33
Antara makanan sejuk beku yang dirampas PGA Briged Sabah di tujuh daerah Rabu lalu. (Gambar PDRM) PETALING JAYA: Seramai 21 individu ditahan dan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM20.88 juta dirampas di tujuh daerah Sabah kelmarin. Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Nor Omar Sappi, berkata 204 pegawai dan anggota pelbagai agensi menyertai serbuan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Kunak dari 8 pagi hingga 6 petang Rabu lalu hasil maklumat risikan. “Seramai 21 individu berusia 22 hingga 40 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, 17 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita asing,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah semua yang ditahan tiada rekod kesalahan lampau. Beliau berkata, pelbagai makanan sejuk beku termasuk ayam, daging beku dan daging babi yang keseluruhannya dianggarkan RM20,883,909.85 dirampas. Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan serta siasatan lanjut. Tegasnya, polis akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan untuk membanteras penjualan ayam, daging dan makanan sejuk beku diragui status halal serta kebersihannya, terutama ketika umat Islam menjalani ibadah puasa dan menjelang Aidilfitri. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penjualan makanan sejuk beku meragukan kepada polis.