200 warga asing diperiksa dalam operasi imigresen
2026-03-22 - 15:51
Imigresen melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan termasuk hentian bas dan pasar borong. (Gambar JIM) SHAH ALAM: Imigresen memeriksa 200 warga asing di beberapa lokasi tumpuan bermula Jumaat hingga hari ini menerusi Ops Omnipresent. Antara lokasi tumpuan termasuk hentian bas di Pelabuhan Klang, Terminal Bas Klang, Kawasan 13 Klang, Dataran Otomobil Seksyen 15 dan Pasar Taman Sri Muda di Shah Alam, serta Pasar Borong Selayang, dan Mentari Court, Petaling Jaya. Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata 16 pegawai terlibat dalam operasi ini, bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta memelihara ketenteraman awam sepanjang musim perayaan. “Jabatan ini akan terus mempergiat penguatkuasaan secara berterusan dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan. Operasi dilaksanakan menggunakan kenderaan rasmi dilengkapi lampu bagi menegaskan kehadiran penguat kuasa, serta memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap usaha pemantauan.