200 liter BUDI95 pragmatik, kerajaan kena pantau rapi manipulasi harga barang, kata ahli ekonomi
2026-03-27 - 02:40
Ahli ekonomi berpandangan kesan terhadap kos sara hidup masih dapat diminimumkan walaupun kuota 200 liter sebulan menerusi BUDI95. PETALING JAYA: Kerajaan diseru meningkatkan pengawasan bagi mengelak manipulasi harga barang naik sewenang-wenangnya susulan penyelarasan sementara kelayakan subsidi di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 1 April, kata ahli ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid. Beliau yang juga ketua ahli ekonomi Bank Muamalat, berkata kuota 200 liter bulanan masih pragmatik dengan secara teorinya kesan kos sara hidup dapat diminimumkan. “Namun, risiko ‘profiteering’ tetap wujud. Peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah boleh menjejaskan kuasa beli rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya kepada FMT. Afzanizam menekankan kerajaan perlu memantau rapi aktiviti penyeludupan serta manipulasi harga di pasaran. Mohd Afzanizam Abdul Rashid. “Penguatkuasaan undang-undang sedia ada harus diperketat agar subsidi yang diberikan benar-benar sampai kepada rakyat dan tidak disalahgunakan,” katanya. Semalam, dalam perutusan khas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hampir 90% rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan penyelarasan sementara kelayakan subsidi BUDI95 bermula 1 April. Langkah itu dilaksanakan susulan konflik di Asia Barat, dengan kadar diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Namun, Anwar menegaskan kerajaan mengekalkan harga RM1.99 kepada rakyat tempatan. Ahmed Razman Abdul Latiff. Seorang lagi ahli ekonomi, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, berkata penyelarasan 200 liter sebulan bertepatan keadaan semasa. “Jika ada beberapa individu dalam isi rumah yang layak untuk BUDI95, had 200 liter boleh dikongsi bersama dalam satu isi rumah,” katanya. Semalam, Anwar turut mengumumkan Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran melambung. Pemandu e-hailing pula kekal menikmati had siling 800 liter sebulan.