TheMalaysiaTime

2 suspek kes samun berkumpulan ditahan

2026-03-24 - 13:21

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata penahanan suspek terbabit berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan namun suspek lain masih diburu. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki tempatan semalam selepas disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan di sekitar Dang Wangi. Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata kedua-dua suspek berusia 41 dan 29 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi antara 4.30 pagi hingga 5.30 pagi. Katanya, modus operandi suspek adalah menyamun mangsa dengan melarikan gelang tangan emas, dokumen penting dan telefon bimbit. “Kita juga berjaya merampas pakaian, tiga motosikal, empat topi keledar dan sekeping nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dalam jenayah itu,” katanya dalam kenyataan. Menurut Sazalee, penahanan kedua-dua suspek terbabit berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan. Bagaimanapun katanya, polis masih giat memburu baki suspek lain yang masih bebas. “Siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Share this post: