2 sindiket tumpas, RM14.6 juta dadah dirampas
2026-03-11 - 05:24
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan 3 hingga 5 Mac lalu. SHAH ALAM: Dua sindiket pengedaran dadah tumpas selepas enam suspek ditahan dan dadah dianggarkan bernilai RM14.6 juta dirampas di sekitar Lembah Klang minggu lalu. Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata seorang lelaki tempatan, empat lelaki asing dan seorang wanita asing ditahan, manakala 105.1kg syabu serta 116.3kg ganja dirampas dalam empat serbuan di Gombak, KLIA, Sepang dan Sentul. Kes pertama pada 3 Mac lalu membabitkan seorang lelaki tempatan 34 tahun dan seorang warga asing 47 tahun, dengan lima bag kanvas berisi 64 bungkusan plastik berlabel ‘Daguanyin’ mengandungi 105.1kg syabu dijumpai dalam sebuah van digunakan suspek. Dadah itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang. Shazeli berkata, warga tempatan dengan tiga rekod jenayah lampau itu bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier, manakala warga asing sudah berkahwin itu yang tiada rekod lampau bekerja di sebuah kuil sekitar Batu Caves. Kedua-duanya negatif dadah dan sebuah motosikal Yamaha berharga kira-kira RM2,000 disita. Sementara itu, seorang warga asing ditahan di KLIA bersama sebuah bagasi berisi 49 bungkusan plastik mengandungi 27.2kg ganja, dipercayai untuk dispasarkan di luar negara. Penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki asing dipercayai dalang sindiket bersama 14.3kg ganja yang ditemui dalam sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang, pada 4 Mac lalu. Pada 5 Mac lalu, seorang lelaki dan wanita warga asing ditahan bersama 136 bungkusan plastik mengandungi 74.8kg ganja ditemui di sebuah kondominium di Mont Kiara. Shazeli berkata, empat warga asing berusia 20 hingga 30 tahun itu yang memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong antara Disember lalu dan pertengahan bulan lalu, dipercayai sebahagian daripada sindiket pengedaran dadah sama. Dua daripada suspek itu positif dadah, manakala sebuah BMW M4, Proton Iriz, jam tangan Audemars Piguet bernilai RM781,500, jam tangan Armani Exchange serta mata wang kripto kira-kira RM4,842 turut dirampas mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. “Dadah yang dirampas ini boleh digunakan kira-kira 738,000 penagih,” katanya dalam sidang media di sini sambil menambah semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Rompakan berkumpulan di Gombak Shazeli berkata, kertas siasatan berhubung rompakan berkumpulan membabitkan beberapa anggota polis didakwa mencuri lebih RM300,000 daripada seorang ahli perniagaan di Gombak sudah diserahkan kepada Bukit Aman. Menurutnya, suspek mengenali satu sama lain dan dalang utama dikenal pasti sebagai orang awam dalam kumpulan itu.