2 remaja ditahan Sosma, Suaram mahu KDN perjelas
2026-03-06 - 11:03
Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron menuntut pembebasan dua tahanan remaja serta-merta, sambil menyifatkan penahanan mereka tidak sah. KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diseru segera memberi penjelasan berhubung penahanan dua remaja 17 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang didakwa melanggar hak kanak-kanak. Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron, berkata KDN tidak boleh terus membisu memandangkan wujud percanggahan maklumat antara kenyataan polis, sedangkan fakta menunjukkan dua remaja sah berada dalam tahanan dan telah bertemu peguam masing-masing. “Kita tahu enam orang pun daripada keluarga. Macam mana polis kata tiada sedangkan kita tahu ada dua orang? “KDN kena jawab benda ini. Dan kita nak mereka untuk dibebaskan hari ini juga sebab memang terang salah guna kuasa dan tidak sah,” katanya pada sidang media. Sementara itu, peguam Erika Sam yang mewakili seorang daripada remaja dari Langkawi, berkata beliau hanya dibenarkan bertemu anak guamnya semalam selama 15 minit. Katanya, ia adalah tempoh yang tidak mencukupi untuk konsultasi peguam yang efektif. Menurut Sam, anak guam juga tidak dibenarkan bertemu keluarga sepanjang tempoh tahanan. “Kami juga tidak mempunyai maklumat sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai penahanan ini, sepertimana yang diwajibkan oleh undang-undang bagi kes melibatkan kanak-kanak,” katanya sambil mendakwa turut berlaku intimidasi terhadap anak guamnya sepanjang tempoh tahanan dan siasatan. Dalam pada itu, seorang lagi peguam, Sashi Devan yang mewakili remaja dari Alor Setar mendedahkan pihak keluarga hanya dibenar berjumpa dengan tahanan selepas 19 hari ditahan. Sashi turut membangkitkan persoalan mengenai ketelusan status siasatan apabila terdapat percanggahan maklumat antara polis dan anak guamnya. “Pegawai penyiasat menyatakan kes baru sahaja dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. “Bagaimanapun, anak guam saya memaklumkan bahawa beliau telah diberitahu pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Alor Setar pada 8 Mac ini. Bagaimana tahanan boleh tahu lebih awal berbanding maklumat rasmi yang diberikan kepada peguam?” soalnya. Selasa lalu, Suaram mendakwa sekurang-kurangnya enam remaja kini sedang ditahan bawah Sosma. Suaram berkata, Adun Pengkalan Kundor Mardhiyyah Johari baru-baru ini membuat aduan kepada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak, mendakwa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan mengikut Sosma, pada 15 Feb di rumahnya. Namun, perkara itu dinafikan Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar sambil menegaskan semakan mendapati tiada rekod penahanan membabitkan individu berusia 17 tahun pada tarikh berkenaan.