TheMalaysiaTime

2 polis bantuan bekal dadah kepada pelatih Puspen kena tindakan

2026-03-01 - 02:53

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mencadangkan kawal selia lebih ketat bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan. (Gambar Bernama) BACHOK: Dua anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang disyaki terlibat membekalkan dadah kepada 47 klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serdang, Kedah, akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib esok. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu menyusul selepas kedua-dua anggota sokongan berkenaan dikeluarkan dari Puspen Serdang dan ditukarkan ke AADK Kedah berikutan penglibatan mereka dalam kes berkenaan. Beliau menyifatkan tindakan petugas pengawasan yang membekalkan dadah kepada klien itu ibarat ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ dan menegaskan kementerian sama sekali tidak akan berkompromi dengan kesalahan memalukan itu. “Berdasarkan siasatan, tiga anggota sokongan terlibat. Seorang daripadanya telah pun dipecat pada Oktober tahun lepas selepas disahkan positif dadah dan terbukti membekalkan bahan terlarang itu. “Baki dua lagi anggota, walaupun saringan awal mendapati mereka negatif dadah siasatan mendapati mereka turut terlibat membekalkan dadah dan akan berhadapan dengan Lembaga Tatatertib pada esok untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni klien wanita AADK sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama MDN di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik pagi ini. Pada Khamis lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai Puspen Serdang hingga 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine. EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Selain itu, EAIC mencadangkan kawal selia lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke Puspen.

Share this post: