TheMalaysiaTime

2 penyelam dikhuatiri hilang di Pulau Redang

2026-03-14 - 15:14

Polis berkata operasi pencarian turut meliputi kawasan sekitar Pulau Redang antaranya Pulau Bidong, Pulau Geluk dan Pulau Tengkorak. (Gambar Wikipedia) PETALING JAYA: Dua penyelam dikhuatiri hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pasir Akar Marine Park, di Pulau Redang, tengah hari tadi. Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata mangsa lelaki Melayu berusia 31 tahun berasal dari Kajang, dan seorang lelaki warga China berusia 42 tahun. Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak berkaitan kira-kira 12.45 tengah hari yang memaklumkan kejadian. “Susulan kejadian itu, sebuah bot daripada Jabatan Perikanan Terengganu dengan tujuh anggota penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Taman Laut digerakkan untuk memulakan operasi pencarian pada 2 petang. “Operasi turut dibantu tujuh sukarelawan sebuah resort menggunakan dua bot milik mereka, difahamkan seorang penyelam ialah dive master, manakala seorang lagi student diver,” katanya menurut Bernama ketika dihubungi, malam ini. Azli berkata, operasi pencarian turut meliputi kawasan sekitar antaranya Pulau Bidong, Pulau Geluk dan Pulau Tengkorak. Katanya, bagaimanapun operasi terpaksa dihentikan pada 6 petang tadi dan akan disambung pagi esok susulan keadaan ombak dan gelombang agak besar. “Sehingga operasi ditangguhkan petang tadi, dua penyelam tersebut masih belum dijumpai. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Share this post: