TheMalaysiaTime

2 penguat kuasa disyaki minta, terima rasuah RM39,000 direman

2026-03-04 - 09:14

Kedua-dua suspek lelaki ditahan bersama seorang lagi suspek yang dipercayai orang tengah ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah. (Gambar Bernama) ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mereman dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM39,000, awal tahun ini. Sumber SPRM memberitahu, sogokan itu dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing bagi sebuah syarikat yang beroperasi di negeri ini. Kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 50-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek yang dipercayai orang tengah pada kira-kira 12 tengah malam tadi, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah. “Bagaimanapun suspek lelaki (orang tengah) tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini. “Siasatan awal mendapati kedua-dua pegawai penguat kuasa itu bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Februari lepas dengan meminta wang rasuah daripada ejen syarikat tersebut melalui orang tengah,” kata sumber. Kedua-duanya disyaki menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 secara transaksi ke akaun bank masing-masing, manakala baki RM35,000 belum diperoleh. Pengarah SPRM Kedah Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman selama enam hari hingga 9 Mac terhadap suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. Beliau berkata siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan terbabit.

Share this post: