TheMalaysiaTime

2 pekerja maut jatuh skylift

2026-03-17 - 06:04

Polis berkata dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada. PETALING JAYA: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh dari sebuah jentera skylift ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsa di Subang Jaya, petang semalam. Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan kejadian melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam kira-kira 3.50 petang. “Sepasukan anggota dari Balai Polis USJ 8, IPD Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat. “Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen. “Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa dibawa ambulans ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift. Katanya, semua mangsa warga asing berusia antara 38 hingga 46 tahun, dan ketika kejadian cuaca dilaporkan hujan lebat. Sementara itu, Wan Azlan berkata setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, untuk bedah siasat.

Share this post: