2 lelaki Malaysia dipenjara keluar wang hasil penipuan di Singapura
2026-03-06 - 13:43
Kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah di sebuah mahkamah di Singapura atas tuduhan dalam konspirasi mengendalikan hasil daripada aktiviti jenayah. (Gambar fail) PETALING JAYA: Dua lelaki warga Malaysia yang terlibat dalam sindiket berkaitan penipuan dan penyamaran di Singapura dihukum penjara kerana mengeluarkan wang SGD1.4 juta (RM4.3 juta) yang dipercayai hasil jenayah melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Chang Yang, 23, dijatuhi hukuman penjara empat tahun empat bulan kerana mengeluarkan lebih SGD770,000 daripada ATM, manakala Thong Yoong Khean, 27, yang mengeluarkan hampir SGD660,000, menerima hukuman penjara empat tahun, lapor Straits Times. Kedua-duanya mengaku bersalah bulan lepas atas pertuduhan terlibat dalam konspirasi mengendalikan hasil daripada aktiviti jenayah, yang melibatkan jumlah keseluruhan lebih daripada SGD403,000. Pertuduhan lain berkaitan baki jumlah wang tersebut turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. Lelaki tersebut menyimpan sehingga SGD600 bagi setiap pengeluaran, dengan Chang memperoleh kira-kira RM50,000 (SGD16,100) dan Thong sekitar RM10,000. Thong sebelum ini telah mengambil pinjaman dan akibat bergelut untuk membayar semula hutangnya, dia ditawarkan ‘peluang pekerjaan’ melibatkan pengeluaran wang tunai ATM di Singapura, yang membawa kepada penglibatannya dalam sindiket tersebut. Chang juga meminjam RM100,000 dan menyertai operasi itu di bawah arahan daripada kumpulan sembang di Telegram. Mereka menerima arahan terperinci mengenai ATM mana yang perlu digunakan, butiran kad, kata laluan sekali guna (OTP), dan lokasi, malah ada kalanya mengambil kad dari loker pusat beli-belah atau melalui perkhidmatan penghantaran. Pengeluaran dilakukan di pelbagai lokasi, termasuk Orchard Road, Tiong Bahru, dan Punggol, antara Mei dan Dis 2024, berjumlah lebih SGD403,000. Selepas mengambil bahagian mereka, baki wang tunai diserahkan kepada pihak ketiga atau dibawa pulang ke Malaysia. Kedua-dua lelaki itu ditangkap pada Dis 2024 di Orchard Road.