2 ditahan berkelakuan tak senonoh di kubur Cina
2026-03-24 - 03:11
Video tular menunjukkan pasangan itu berkelakuan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina Batu Gantung, Pulau Pinang. GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dan wanita didakwa berkelakuan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina di Air Itam, Pulau Pinang. Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata pihaknya menerima satu laporan semalam berhubung kejadian yang berlaku di tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ahad lalu. Susulan itu, katanya, seorang wanita 37 tahun ditahan di sebuah flat berdekatan Jalan Padang Tembak di George Town, manakala seorang lelaki 58 tahun diberkas di Jalan Paya Terubong, Sungai Ara. “Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. Kes sedang disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh, menghina kehormatan seseorang dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian. Terdahulu, satu video tular menunjukkan pasangan terbabit dikonfrontasi selepas berkelakuan tidak senonoh di depan batu nisan dalam tanah perkuburan Cina, dengan lelaki itu berbogel. Sementara itu, NST memetik Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail sebagai berkata, pasangan itu tidak berkahwin.