2 beranak maut nahas motosikal bertembung kereta
2026-03-22 - 03:40
Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, Sandakan semalam. (Gambar PDRM) PETALING JAYA: Dua beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, Sandakan, semalam. Kanak-kanak tujuh tahun itu dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala ibunya yang berusia 28 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Duchess of Kent. Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, motosikal dinaiki dua beranak itu dikatakan dalam perjalanan ke arah Beluran dan cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah Proton Wira. Ketua Polis Sandakan, George Abd Rakman, berkata kanak-kanak yang membonceng motosikal itu maut di tempat kejadian. “Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent,” katanya menurut Harian Metro. Beliau berkata, wanita itu meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat dua beranak itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.