TheMalaysiaTime

2 anggota tentera maut kemalangan ketika pulang ke kampung

2026-03-16 - 15:03

Keadaan kereta Honda Civic dinaiki mangsa yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di KM70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, hari ini. (Gambar JBPM) BANDAR PERMAISURI: Dua anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, hari ini. Ketua Polis Setiu Mohd Zain Mat Dris berkata pemandu kereta Honda Civic Muhammad Aminuddin Amran, 21, dan rakannya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan Mohamad Shakiran Saidi, 36, meninggal dunia di tempat kejadian. “Polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori treler pada 12.05 tengah hari. “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan lori treler. “Perlanggaran itu menyebabkan kereta mangsa mengelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan kereta Proton Saga, sebelum melanggar kereta Perodua Alza yang diparkir dalam garaj berbumbung berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan. Zain berkata pemandu dan penumpang kereta Proton Saga hanya cederaan ringan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat. Beliau berkata kedua-dua anggota tentera terbabit ialah rakan setugas di Kem 7 Workshop Briged Tebrau, Johor, dan dalam perjalanan untuk pulang bercuti dari tempat kerja mereka. “Aminuddin beralamat di Taman Gading Galoh, Merbau Chondong, Pulau Chondong, Kelantan, manakala Shakiran dari Kampung Kedondong, Pasir Mas,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba Setiu, Mohd Sarizan Mohamad Sapawi ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.42 pagi. Beliau berkata lapan anggota dengan dua jentera dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan. “Kereta Honda Civic berkenaan turut terbakar dan berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan pemadam api jenis debu kering sebelum bomba tiba. “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Share this post: