2,889 kes buli, 3,570 kesalahan jenayah di sekolah tahun lalu
2026-02-26 - 03:33
Kementerian Pendidikan berkata antara tindakan disiplin diambil termasuk memberi amaran lisan dan bertulis, hukuman rotan, kelas tahanan, gantung sekolah dan buang murid dari sekolah. (Gambar fail) KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan tahun lepas, dengan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (KPM). KPM menerusi jawapan bertulis di portal Parlimen mendedahkan 3,570 kes kategori salah laku jenayah dicatatkan bagi tempoh sama, membabitkan 457 kes di sekolah rendah dan 3,113 kes di sekolah menengah. Tegasnya, ia tidak akan berkompromi sebarang bentuk salah laku disiplin, termasuk gejala buli dan jenayah di institusi pendidikan. “Antara tindakan disiplin yang telah diambil oleh pihak sekolah termasuk memberi amaran lisan, mengeluarkan amaran bertulis, mengenakan kelas tahanan, melaksanakan hukuman rotan, menggantung persekolahan dan membuang murid dari sekolah. “Tindakan disiplin lebih tegas ini diambil berdasarkan tahap keseriusan kes,” katanya menjawab soalan V Ganabatiru (PH-Klang) berhubung jumlah kes buli dan jenayah direkodkan di sekolah seluruh negara tahun lalu dan tindakan KPM. Menurutnya, 2024 merekodkan jumlah kes buli tertinggi, iaitu 7,681 kes melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah. KPM memaklumkan jumlah itu direkodkan berikutan hasil peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru serta pentadbir sekolah terhadap pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 12 Tahun 2023 berhubung salah laku buli. “KPM mempunyai mekanisme jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah, antaranya SPI Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah KPM dan SPI Bilangan 7 Tahun 2011: Pelaksanaan SOP 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.” Selain itu, audit keselamatan dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin isu keselamatan ditangani dengan berkesan serta memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) sekolah dipatuhi, dengan 1,758 sekolah diaudit setakat 19 Nov lalu. Di samping itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuh melalui penempatan baharu 523 guru bimbingan dan kaunseling di sekolah seluruh negara pada 2025. “KPM memperuntukkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 asrama dengan tujuan memantau kawasan berisiko. Projek ini siap sepenuhnya 19 Nov 2025. “Bagi 2026, KPM turut meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama lain dan pelantikan 600 pembantu warden asrama (MyPWA) khususnya bagi membantu pemantauan pada waktu malam.”