TheMalaysiaTime

18 ‘ulat foto’ ditahan kes pukul 2 lelaki depan KLCC

2026-03-27 - 07:50

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata semua suspek lelaki yang ditahan Isnin lalu mengaku berada di lokasi kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan di sekitar KLCC. PETALING JAYA: Polis menahan 18 lelaki dipercayai terbabit rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki di depan KLCC Ahad lalu. Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata kejadian kira-kira 9 malam itu dipercayai bermula apabila sekumpulan jurugambar jalanan atau “ulat foto” memukul pelancong warga India. “Seorang lelaki tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa apabila diserang dari arah belakang menggunakan senjata dipercayai pisau kerambit. “Lelaki berkenaan kemudiannya dipukul beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan apabila kira-kira 30 rakan suspek turut membantu menyerang mangsa,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, semua suspek berusia 17 hingga 45 tahun yang ditahan Isnin lalu mengaku berada di lokasi kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan di sekitar KLCC. “Hasil pengecaman mendapati dua daripada suspek dikenal pasti saksi sebagai individu terbabit dalam serangan berkenaan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Rabu lalu, pempengaruh yang juga juga bekas guru, Mohd Fadli Saleh dalam hantaran di Facebook mendakwa dua lelaki cedera di kepala dipercayai menjadi mangsa pukul jurugambar jalanan di KLCC.

Share this post: