17 ditahan, sindiket manipulasi sistem mohon amah tumpas
2026-03-05 - 03:33
Warga asing yang ditahan di sekitar Johor Bahru untuk membantu siasatan kes manipulasi sistem permohonan pembantu rumah asing. (Gambar Jabatan Imigresen) PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan pembantu rumah asing (PRA) dalam talian menerusi dua operasi khas di Johor pada 2 dan 3 Mac lalu, dengan penahanan 16 warga asing serta seorang lelaki tempatan. Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Johor itu hasil risikan terperinci serta pemantauan selama dua bulan menggunakan pendekatan “smart enforcement”. Beliau berkata, dalam operasi pertama di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru pada 2 Mac lalu, lapan wanita Thailand serta dua wanita dan seorang lelaki Vietnam ditahan. “Semakan awal mendapati terdapat kes tinggal lebih masa serta penyalahgunaan pas lawatan sosial (PLS) dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan. “Pasukan operasi turut menyita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, premis itu dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan beroperasi kira-kira setahun. Dalam operasi kedua di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru pada 3 Mac lalu, Zakaria berkata, sindiket menyalahgunakan kemudahan permohonan PRA tumpas dengan empat wanita Vietnam, seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan dipercayai dalang utama sindiket ditahan. “Siasatan mendapati sindiket ini mengemukakan maklumat dan dokumen disyaki palsu untuk mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA bagi individu tidak memenuhi syarat kelayakan,” katanya sambil menambah sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu. Semua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen Setia Tropika di Johor dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, termasuk Seksyen 6(3), 15(1)(c) dan 56(1)(k). “Kejayaan dua operasi ini membuktikan Jabatan Imigresen bukan saja mempergiat penguatkuasaan di lapangan, malah memantau secara digital bagi memastikan sistem imigresen negara tidak dimanipulasi sindiket. “Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian demi memelihara integriti sistem serta keselamatan negara selaras aspirasi Malaysia Madani.”