TheMalaysiaTime

150 hektar ladang kelapa sawit di Nenasi terbakar

2026-03-24 - 12:41

Sejak semalam, pasukan bomba Pahang jalan operasi padam kebakaran di 2 lokasi ladang kelapa sawit, masing-masing di Pekan dan Kuala Rompin. (Gambar JBPM) PETALING JAYA: Sebuah lagi ladang kelapa sawit di Nenasi, Pekan, terbakar sejak semalam dengan keluasan kebakaran meliputi kawasan 150 hektar. Timbalan Pengarah Bomba Pahang Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, kebakaran di ladang yang berkeluasan keseluruhan 500 hektar itu berjaya dikawal, dengan kebakaran di 48 hektar kawasan telah dipadamkan. “Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua kumpulan menggunakan satu unit pam angkut dengan dua aliran sepanjang 91.4m yang mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama. Beliau berkata, pihaknya telah memohon bantuan Unit Udara Bomba bagi mempercepat operasi pemadaman berikutan cabaran kekangan akses ke lokasi kebakaran yang menyukarkan pergerakan jentera dan anggota. Wan Ahmad Fadillah berkata, pada masa sama, pasukan bomba turut menjalankan operasi pemadaman kebakaran di ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, melibatkan kawasan seluas kira-kira 292 hektar yang masuk hari kedua operasi. “Sebanyak 6.07 hektar kawasan terbakar berjaya dipadamkan manakala operasi pemadaman di kawasan baki yang dianggarkan kira-kira 286 hektar dijalankan menggunakan satu unit pam angkut dengan hos sepanjang 182.8m serta dua pancutan air,” katanya. Secara keseluruhan, katanya, operasi pemadaman melibatkan 28 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi dan BBP Kuala Rompin bersama beberapa aset termasuk jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), kenderaan pacuan empat roda serta lori sokongan. “Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terjejas,” katanya. Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran melalui talian kecemasan 999.

Share this post: