TheMalaysiaTime

15 ditahan, sindiket tipu khidmat seks palsu tumpas

2026-03-21 - 06:30

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata sindiket penipuan khidmat seks dalam talian palsu itu menyasarkan warga Taiwan. (Gambar Bernama) MELAKA: Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian dengan penahanan 15 individu, termasuk warga China di Kampung Lapan, Tengkera, di sini, Khamis lalu. Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata dua warga tempatan dan 13 warga China berusia 26 hingga 49 tahun, termasuk seorang wanita, ditahan kira-kira 6 petang kelmarin. “Mereka disyaki terlibat aktiviti penipuan dalam talian melibatkan khidmat seks tidak wujud yang menyasarkan warga Taiwan melalui pusat panggilan. “Siasatan awal mendapati ahli sindiket berada di Melaka sejak awal Mac dan masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah. Beliau berkata, 13 komputer, 40 telefon bimbit dan dua pasport yang dianggarkan berjumlah RM85,000 dirampas dalam serbuan itu. Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(C) dan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. “Polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada terhadap sebarang perkhidmatan ditawarkan dalam talian,” katanya sambil menambah sebarnag maklumat berkaitan sindiket penipuan dalam talian boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 011-2111222.

Share this post: