TheMalaysiaTime

14 maut kebakaran kilang alat ganti kereta di Korea Selatan

2026-03-22 - 01:00

Kilang alat ganti kereta di bandar Daejeon yang terbakar pada tengah hari Jumaat lalu. Kebakaran hanya dapat dipadamkan sepenuhnya selepas kira-kira 10 jam 30 minit. (Gambar EPA Images) DAEJEON: Sekurang-kurangnya 14 maut dalam kebakaran besar sebuah kilang alat ganti kereta di bandar Daejeon, Korea Selatan, menurut pihak berkuasa selepas tiga individu yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemui maut, lapor Agensi Berita Yonhap. Tiga lagi mayat ditemui di tingkat dua bangunan kilang hangus itu antara 4 hingga 5 petang Sabtu, dengan pasukan penyelamat menggunakan peralatan berat untuk mengalihkan runtuhan. Ini menjadikan semua 14 individu yang dilaporkan hilang telah ditemui, menurut pihak berkuasa bomba. Sekurang-kurangnya 58 orang cedera dalam kebakaran itu, termasuk dua anggota bomba. Seramai 170 pekerja berada dalam kilang itu ketika kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira 1.17 tengah hari Jumaat lalu. Kebakaran dipadamkan sepenuhnya selepas kira-kira 10 jam 30 minit, menurut pihak berkuasa. “Kami merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa korban dalam kebakaran ini,” kata Ketua Pesuruhjaya Agensi Bomba Kebangsaan, Kim Seung-ryong. Presiden Lee Jae Myung melawat lokasi kebakaran pada petang Sabtu bagi meninjau operasi menyelamat serta menemui keluarga dan mangsa terselamat.

Share this post: