13 Ahli Parlimen Bersatu bakal sertai parti baharu Hamzah, dakwa Wan Saiful
2026-03-05 - 00:14
Wan Saiful Wan Jan meminta penyokong Hamzah Zainudin supaya bersabar dengan pengumuman berkait parti baharu. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan membayangan 13 Ahli Parlimen Bersatu berkemungkinan besar menyertai parti baharu pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Langkah itu dilihat sebagai strategi mengelak daripada terkena tindakan di bawah akta antilompat parti sedang berkuat kuasa sekarang. Menurut bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, rundingan untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia kini berada di peringkat akhir, dengan hanya beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan. Wan Saiful meminta penyokong Hamzah supaya bersabar dan menyatakan pengumuman rasmi akan dibuat pada masa yang sesuai. “Kami masih belum memperincikan langkah seterusnya yang akan diambil oleh Ahli Parlimen dan Adun (termasuk mereka yang masih bersama Bersatu). Perkara ini memerlukan penelitian mendalam kerana ia melibatkan akta antilompat parti. “Tetapi tidak mengapa jika Ahli Parlimen dan Adun tidak menyertai parti sekarang; mereka boleh menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya kepada FMT. Beliau menambah parti itu dijangka bakal memiliki 19 Ahli Parlimen dan beberapa Adun termasuk Hamzah sendiri. Namun buat masa ini, tumpuan adalah untuk memastikan jentera dan penyokong menyertai parti terlebih dahulu sebagai persediaan awal. Mengenai kedudukan parti baharu itu dalam Perikatan Nasional (PN), Wan Saiful menjelaskan keputusan sama ada untuk menyertai gabungan itu bergantung kepada kepimpinan baharu kelak, sambil mengakui wujud kemungkinan permohonan mereka ditolak oleh PN. Kelmarin, Hamzah mengesahkan perbincangan mengenai pengambilalihan Parti Keluarga Malaysia sedang berjalan, manakala pengasasnya Khairi Jaya, menyatakan proses tersebut sudah “90% pasti”. Langkah itu menyusul selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu ekoran krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Selain Hamzah, lima lagi Ahli Parlimen yang memihak kepadanya turut dipecat sejak Oktober lalu iaitu Wan Saiful (Tasek Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hasan (Padang Rengas) Sementara itu, 13 lagi Ahli Parlimen yang masih memegang jawatan dalam Bersatu dilaporkan teguh menyokong Hamzah. Antaranya termasuk Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee; Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin; serta ahli MPT Rosol Wahid dan Ikmal Hisham Abdul Aziz. Di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan (akta antilompat parti), mana-mana Ahli Parlimen yang meletak jawatan atau menyertai parti lain akan hilang kerusi mereka secara automatik. Bagaimanapun, kekosongan kerusi tidak berlaku sekiranya ahli itu dipecat oleh parti.