12 polis direhat, siasatan rompakan kripto RM200,000 masih berjalan
2026-03-02 - 05:54
Anggota polis yang terbabit dalam siasatan berhubung rompakan mata wang kripto direhatkan daripada tugas lapangan. SHAH ALAM: Dua belas anggota polis yang ditahan dalam kes rompakan mata wang kripto membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 milik sekumpulan warga China direhatkan daripada tugas sementara siasatan diteruskan. Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada penasihat undang-undang PDRM dan pihaknya masih menunggu laporan forensik digital. “Masih lagi peringkat siasatan, belum lengkap lagi,” katanya dalam sidang media di IPD Shah Alam. Beliau berkata, semua anggota terbabit kini direhatkan daripada tugas lapangan. Sebelum ini, media melaporkan 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto. Mereka ditahan terdiri pegawai dan anggota berpangkat asisten superintendan, inspektor, sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel berusia 24 hingga 47 tahun. Penahanan dibuat susulan laporan seorang warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan 50,000 USDT (mata wang kripto tether) selepas banglo disewa mereka di Country Heights, Kajang, diserbu sekumpulan individu dipercayai anggota polis yang mendakwa menjalankan operasi antipenipuan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan siasatan lanjut masih dijalankan.