109 ditahan UAE sebar maklumat ‘palsu’ perang Asia Barat
2026-03-21 - 00:00
Polis Abu Dhabi berkata 109 suspek pelbagai warganegara ditahan kerana merakam lokasi dan kejadian serta menyebarkan ‘maklumat palsu’ di media sosial. (Gambar Bernama) KAHERAH: Polis Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan 109 individu pelbagai warganegara ditahan kerana merakam dan memuat naik maklumat “palsu” dalam talian susulan perang di Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman. Penahanan itu diumumkan polis Abu Dhabi pada Jumaat yang berkata, suspek merakam lokasi dan kejadian serta menyebarkan “maklumat palsu” di media sosial. “Perkara ini boleh menghasut pendapat umum dan menyebarkan khabar angin dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam hantaran di X tanpa memberikan butiran lanjut. Iran dilaporkan berulang kali menyerang negara Teluk sebagai tindak balas terhadap kempen pengeboman Amerika Syarikat-Israel yang bermula 28 Feb lalu. UAE menanggung kesan terbesar serangan Iran dengan negara Teluk itu melaporkan 338 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu jelajah dan 1,740 dron dipintas setakat Jumaat. Pihak berkuasa UAE berkata, serangan Iran itu mengorbankan dua anggota tentera dan enam warga asing di negara berkenaan.