TheMalaysiaTime

1 maut, UAE dihujani dron, peluru berpandu

2026-03-17 - 03:44

Kepulan asap kelihatan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai selepas serangan dron dilaporkan terkena tangki bahan api yang mencetuskan kebakaran besar. (Gambar EPA Images) DUBAI: Seorang maut selepas peluru berpandu dan dron menghujani Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin yang mengganggu lapangan terbang paling sibuk di dunia serta menyebabkan hab minyak penting terbakar. Iran meneruskan serangan ke atas UAE sejak perang meletus di Timur Tengah, mengganggu perjalanan udara komersial dan menyasarkan kemudahan tenaga di kedua-dua belah Selat Hormuz. Serangan itu menambah tekanan ekonomi ke atas negara kaya dengan minyak itu, yang juga hab perjalanan antarabangsa. Serangan bertubi-tubi itu menyusul sehari selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilaporkan berkata, pangkalan AS di Timur Tengah digunakan untuk melancarkan serangan udara dan peluru berpandu dari UAE ke atas Pulau Kharg di Iran. Pegawai UAE bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit. Serangan dron merosakkan sebuah bangunan di Umm Al Quwain dan infrastruktur minyak di Fujairah yang menyebabkan kebakaran, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan pihak berkuasa. Kebakaran itu berlaku beberapa hari selepas seorang wartawan AFP melihat asap naik dari sebuah loji tenaga utama di Fujairah. Syarikat minyak milik kerajaan UAE, Adnoc menghentikan pemuatan minyak ke tangki simpanan di kemudahan mereka di Fujairah, sumber yang tahu operasi itu memberitahu AFP susulan serangan berulang ke atas kemudahan tenaga di sana. Seorang warga Palestin maut di pinggir Abu Dhabi selepas peluru berpandu terkena sebuah kereta, kata pejabat media kerajaan. UAE melaporkan tujuh kematian sejak perang bermula, termasuk lima orang awam dan dua anggota tentera yang terkorban dalam nahas helikopter dipersalahkan atas kerosakan teknikal. Iran melancarkan lebih 1,900 peluru berpandu dan dron ke arah UAE, paling banyak berbanding negara lain yang disasarkan Tehran sejak perang Timur Tengah bermula. Tehran turut menyasarkan aset AS di negara Teluk, selain infrastruktur awam, termasuk mercu tanda, lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan minyak.

Share this post: