TheMalaysiaTime

1 maut, 12 ditahan ketika serbuan kes curi motosikal

2026-03-12 - 01:34

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan kediaman di Jalan Gombak malam tadi. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang lelaki yang melarikan diri bersama seorang rakan untuk mengelak ditahan polis, maut selepas terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan kediaman di Jalan Gombak, malam tadi. Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kejadian itu berlaku pada 9.07 malam ketika sepasukan anggotanya melakukan serbuan berkaitan kes mencuri motosikal yang turut membawa kepada penahanan 12 individu. “Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan terjun daripada tingkat tiga bangunan. Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi selamat,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah kes itu diklasifikasikan mati mengejut. Menurutnya, 12 yang ditahan itu termasuk empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia tiga hingga 42 tahun, termasuk dua warga Indonesia. Katanya, dua motosikal curi dan beberapa jenis dadah turut dirampas dalam serbuan itu. Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.

Share this post: