TheMalaysiaTime

1,575 kes dera kanak-kanak pada suku tahun keempat 2025

2026-02-26 - 15:13

Talian bebas tol yang beroperasi 24 jam sepanjang tahun disediakan bagi memudahkan saluran aduan berhubung penderaan kanak-kanak, iaitu Talian Kasih 15999. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Sebanyak 1,575 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan pada suku tahun keempat 2025, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, memaklumkan kes merangkumi penderaan fizikal, penderaan seksual, dan penderaan emosi. Menteri menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai), berhubung jumlah kes penderaan kanak-kanak yang berlaku pada suku akhir tahun 2025 dan bentuk tindakan yang diambil bagi menangani kes tersebut. Dalam usaha menangani kes penderaan secara menyeluruh, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menawarkan bimbingan kaunseling sebagai intervensi awal kepada keluarga berisiko, termasuk kaunseling perkahwinan, pendidikan keibubapaan, sokongan psikososial serta bantuan ekonomi. Katanya, perkhidmatan kaunseling ditawarkan melalui JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. Sokongan psikososial turut ditawarkan melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat oleh Yayasan Kebajikan Negara. “Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan akibat konflik rumah tangga yang berpotensi menjadi pencetus kepada penderaan kanak-kanak,” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen. Selain itu, kementerian menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak bagi menambah baik perkhidmatan termasuklah perlindungan kanak-kanak; dan melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di peringkat komuniti, sekolah, dan institusi masyarakat melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi, sejak 2023. “Sepanjang 2024, seramai lebih 128,000 kanak-kanak menerima manfaat daripada program tersebut di 337 buah sekolah. Manakala pada 2025, program ini diadakan di 676 buah sekolah dan 48 buah Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di seluruh negara, dengan penyertaan seramai hampir 83,000 orang kanak-kanak,” katanya. PAKK berperanan memberikan perkhidmatan kepada keluarga serta kanak-kanak yang memerlukan perlindungan. Terdapat 143 PAKK beroperasi di seluruh negara. Peranan komuniti turut diaktifkan melalui Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-kanak (PKKK) bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan pelbagai program berkaitan pencegahan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat masyarakat setempat. Terdapat 141 PPKK dan 138 PKKK beroperasi di seluruh negara. Talian bebas tol yang beroperasi 24 jam sepanjang tahun turut disediakan bagi memudahkan saluran aduan, iaitu Talian Kasih 15999. Orang awam juga boleh membuat aduan melalui WhatsApp di talian 019-2615999 atau menggunakan aplikasi mudah alih, Talian Kasih, katanya.

Share this post: